PULAU REDANG, 28 Julai - Ketua Pengarah Pelajaran Tan Sri Alimuddin Mohd Dom menyambut baik langkah kerajaan membenarkan pegawai pendidikan perkhidmatan siswazah Gred DG41 hingga DG48 melibatkan diri dalam politik bermula 1 Ogos ini.
Beliau berkata guru memiliki banyak ciri kepimpinan dan ia telah dibuktikan dalam sejarah negara sendiri apabila mereka menjadi antara pejuang yang menuntut kemerdekaan.
"Saya kira dengan cara ini mereka boleh membantu, khususnya untuk meningkatkan lagi pendidikan dan juga untuk memberi khidmat kepada masyarakat. Ini merupakan satu peluang kepada guru-guru kita dan saya ucapkan terima kasih di atas kebenaran itu," katanya selepas majlis pelancaran semaian 501 ranting karang yang dicatat dalam Malaysia Book of Record di sini.
Alimuddin berkata selepas merdeka, ramai guru terlibat dalam politik namun apabila larangan berhubung pembabitan guru siswazah dalam bidang itu dikeluarkan kerajaan, mereka tidak dapat menunjukkan daya kepimpinan yang ada.
"Jadi, dengan kebenaran itu, guru-guru yang mempunyai kebolehan dapat menunjukkan bakat kepimpinan yang saya rasa guru-guru memang mempunyai banyak ciri itu," katanya.
- BERNAMA
Baca berita selanjutnya...
KPP SAMBUT BAIK GURU DIBENARKAN BERPOLITIKPENGA
Posted by Cikgu Makmal at 11:06 PM 0 comments
JANGAN BAWA IDEOLOGI POLITIK KE DALAM KELAS - MUHYIDDIN
SEOUL, 28 Julai - Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengingatkan pegawai perkhidmatan pendidikan siswazah yang dibenarkan semula bertanding, dilantik atau memegang sebarang jawatan dalam parti politik, supaya tidak membawa ideologi politik mereka ke dalam bilik darjah.
Sambil meminta mereka mematuhi pekeliling berkaitan peraturan pegawai awam, Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran menegaskan bahawa guru berdepan dengan tindakan disiplin jika ada laporan mereka melanggar peraturan ditetapkan.
Beliau menjelaskan bahawa kerajaan membenarkan guru aktif semula dalam politik bagi membolehkan mereka memberi sumbangan kepada masyarakat di luar waktu persekolahan.
"Terpulang kepada guru nak sokong mana-mana parti politik. Apabila kita sudah benarkan (mereka menyertai politik), itu memang sudah diberi pertimbangan oleh KSN (Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan).
"Kita tidak boleh diskriminasi...harapan kita sebagai kerajaan Barisan Nasional, (biarlah) mereka dapat sokong kita. Kalau mereka nak sokong pembangkang, kita tidak boleh sekat," katanya kepada wartawan Malaysia di sini pada Rabu.
Beliau akan mengakhiri lawatan rasmi empat hari ke Korea Selatan pada Khamis.
Pada Selasa, Mohd Sidek mengumumkan bahawa pegawai perkhidmatan pendidikan siswazah Gred DG41 hingga DG48 dibenarkan semula bertanding, dilantik atau memegang sebarang jawatan dalam parti politik berkuat kuasa 1 Ogos ini.
Keputusan itu yang membabitkan 140,000 guru mewajibkan mereka mendapatkan kebenaran bertulis daripada Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran terlebih dahulu sebelum boleh bergiat dalam politik.
Pindaan Peraturan 21 Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 telah diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin dan tindakan sedang diambil untuk mewartakannya.
Sebelum ini, hanya pegawai dalam Kumpulan Sokongan boleh bertanding atau memegang jawatan atau dilantik ke dalam apa-apa jawatan dalam suatu parti politik dengan syarat terlebih dulu mendapat kelulusan bertulis Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam atau Ketua Setiausaha kementerian berkenaan.
Muhyiddin berkata Kementerian Pelajaran akan mengeluarkan maklumat lebih terperinci mengenai keputusan itu tidak lama lagi.
Beliau berkata keputusan itu sebenarnya mempunyai kebaikan kerana mengikut sejarah, peranan guru sebagai pemimpin dalam masyarakat sejak dahulu lagi adalah amat dihargai.
"Lebih-lebih lagi sekarang, guru perlu menjadi pemimpin dalam masyarakat. Guru mempunyai masa selain mengajar dan masa luar waktu (persekolahan) itu boleh dimanfaatkan untuk bersama masyarakat," katanya.
"Dengan cara ini mereka boleh berperanan lebih cergas dengan syarat membuat permohonan, bukan kelulusan automatik," katanya.
Muhyiddin berkata kerajaan tidak berkompromi dalam perkara melibatkan pengajaran dan pembelajaran di sekolah dan guru yang mahu berpolitik perlu memastikan mereka menunaikan tanggungjawab itu dengan sempurna.
Ditanya mengenai kenyataan Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) Hashim Adnan bahawa terdapat tindakan disiplin terhadap pelajar oleh sesetengah sekolah didapati tidak bersesuaian dan perlu diganti, Muhyidin berkata perkara itu terpulang kepada pihak sekolah.
"Kita sudah sediakan peraturan. Jika guru displin mengenakan hukuman (dan tidak sesuai dengan kes langgar disiplin), pengetua atau guru besar boleh lihat kes ini. Gunalah budi bicara.
"Guru disiplin boleh menghukum (pelajar) tapi janganlah lebih daripada yang sewajarnya," kata beliau.
Mengenai garis panduan hukuman disiplin yang disarankan supaya dikemas kini oleh Presiden Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional Prof Madya Datuk Mohd Ali Hassan, Muhyiddin berkata kementerian boleh membaikinya.
"Jika ada garis panduan yang diguna pakai tidak jelas, kita boleh baiki. (Kementerian) harap hukuman diberi adil dan mengambil kira kepentingan pelajar."
- BERNAMA
Baca berita selanjutnya...
Posted by Cikgu Makmal at 11:04 PM 0 comments
Labels: GURU BOLEH BERPOLITIK
GURU BERPOLITIK - KERAJAAN BERSIKAP TERBUKA
PUTRAJAYA, 28 Julai - Langkah membenarkan guru siswazah terlibat dalam politik adalah bukti sikap keterbukaan kerajaan yang tidak pernah menghalang rakyat negara ini, khususnya penjawat awam daripada berpolitik.
Naib Presiden Umno Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata kebenaran itu bagaimanapun tidak boleh disalahgunakan sehingga mengabaikan tanggungjawab hakiki sebagai pendidik anak bangsa.
Katanya, kebenaran itu harus digunakan sebaiknya kerana ia adalah pengiktirafan kepada jasa dan peranan mereka selama ini dalam arena pendidikan dan politik negara.
"Cuma harapan kita jangan abaikan tanggungjawab sebagai guru yang mana mereka diamanahkan untuk mendidik anak bangsa," katanya dalam sidang akhbar di kementeriannya di sini hari ini sebagai mengulas kebenaran yang diberikan oleh kerajaan untuk guru siswazah melibatkan diri dalam politik.
Terdahulu, Mohd Shafie yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah menyampaikan sumbangan komputer riba kepada 72 pelajar Orang Asli terdiri daripada 50 pelajar Sarjana Muda dan 27 pelajar peringkat Diploma.
Sumbangan julung kali itu hanya diberi kepada pelajar Orang Asli yang sedang belajar di tahun kedua atau semester tiga pengajian dan ke atas di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) sahaja.
Mohd Shafie berkata antara syarat untuk mendapatkan sumbangan komputer riba itu ialah mereka perlu mendapat keputusan CGPA 3.00 ke atas.
- BERNAMA
Baca berita selanjutnya...
Posted by Cikgu Makmal at 11:02 PM 0 comments
Labels: GURU BOLEH BERPOLITIK, KERAJAAN
KERAJAAN TIDAK MAHU PEGAWAI BERIJAZAH LAIN TERLIBAT
PUTRAJAYA, 28 Julai - Kerajaan belum bercadang membenarkan pegawai siswazah lain selain dalam bidang pendidikan untuk melibatkan diri dalam politik bagi mengelak konflik kepentingan, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.
Perdana Menteri berkata berbanding guru yang tugas mereka hanya mendidik dan tidak mempunyai kuasa eksekutif, maka tidak akan berlaku konflik kepentingan jika mereka memegang jawatan dalam parti politik.
"Kita tidak mahu mereka yang ada kuasa (eksekutif) memegang jawatan (dalam politik). Bila kita ada jawatan tertentu...kuasa eksekutif, ada kemungkinan boleh berlaku pertembungan daripada segi kepentingan atau konflik kepentingan.
"Kita mula dengan kumpulan guru dulu, lepas itu kita tengok sama ada wajar kita perluaskan untuk kumpulan-kumpulan (pegawai siswazah) lain atau tidak," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan "Tun Abdul Razak Bapa Pembangunan - Suatu Pengkisahan" di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini.
Najib mengulas mengenai kebenaran kepada pegawai pendidikan perkhidmatan siswazah Gred DG41 hingga DG48 untuk melibatkan diri dalam politik bermula 1 Ogos ini.
Dalam laporan akhbar pada Rabu, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan berkata langkah itu berlandaskan hakikat bahawa guru suatu masa dahulu memainkan peranan penting dalam memimpin masyarakat dalam senario politik negara.
Berikutan pengumuman itu, ia membolehkan kira-kira 140,000 guru berijazah di seluruh negara terlibat dalam politik.
Mengulas lanjut, Najib berkata dengan membenarkan guru terlibat dalam politik, ia akan dapat mengukuhkan lagi kepimpinan politik tanah air kerana golongan itu boleh menyumbang daripada segi kepimpinan yang bersifat intelektual.
"Kepimpinan intelektual di peringkat akar umbi akan menjadi satu kekosongan jika sekiranya guru-guru tidak dibenarkan memegang jawatan (politik)," katanya.
Perdana Menteri berkata guru dihormati oleh masyarakat kerana mereka mempunyai taraf kelulusan dan ilmu pengetahuan yang lebih berbanding kelompok lain dalam sesuatu kawasan setempat.
Beliau berkata kepimpinan bersifat intelektual dan tidak bersandarkan kepada material itu juga boleh menyumbang kepada pembentukan akhlak politik yang lebih baik di kalangan pemimpin di peringkat akar umbi.
"Jadi, kalau guru menjadi pemimpin, mereka memberi kepimpinan yang lebih diterima sebab nilai kepimpinan itu bersandar kepada keilmuan dan kedudukan mereka yang boleh dikatakan dihormati oleh masyarakat secara umumnya walaupun ada kes-kes tertentu," katanya.
Dalam pada itu, beliau berharap guru-guru tidak mengabaikan tugas hakiki mereka sebagai pendidik dan mereka juga perlu menghormati struktur kepimpinan di sekolah dan jabatan masing-masing, selepas dibenarkan terlibat dalam politik.
"Kita tidak boleh katakan, bila kita ada jawatan politik, kita membelakangkan arahan jabatan dan sebagainya," katanya. Ditanya kemungkinan berlakunya perpecahan di kalangan guru di sesebuah sekolah tersebut dengan langkah kerajaan itu, Perdana Menteri percaya perkara itu tidak akan berlaku.
"Saya tidak terfikir mereka akan bersifat keterlaluan walaupun mereka ada jawatan politik. Mereka ini orang yang dewasa daripada segi pemikiran dan dulu pun kita telah benarkan (guru terlibat politik), tidak berlaku perpecahan dalam sesebuah sekolah itu," katanya.
Dalam perkembangan lain, Najib berkata setakat ini, kerajaan Persekutuan tidak berhasrat untuk memansuhkan dasar pemberian diskaun bumiputera bagi pembelian hartanah komersial dan rumah sewa di negara ini.
Beliau mengulas mengenai cadangan Anggota Parlimen Petaling Jaya Utara dari DAP, Tony Pua supaya kerajaan Selangor memansuhkan diskaun bumiputera bagi pembelian hartanah komersil dan rumah sewa di negeri berkenaan.
"(Perkara) ini sebenarnya kuasa negeri, penentuan ini termaktub dalam kelulusan Perintah Pembangunan (Negeri). Kita tidak ada cadangan menghapuskan diskaun kepada bumiputera (mengenai perkara itu) pada masa ini.
"Saya mengaku ia tidak mungkin akan kekal selamanya tetapi pada masa ini (menghapuskan diskaun tersebut) belum sesuai lagi," katanya.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan pemimpin DAP supaya tidak terus memberi tekanan kepada golongan Melayu dan bumiputera terhadap perkara itu kerana ia boleh menimbulkan kemarahan dan tidak puashati di kalangan mereka.
- BERNAMA
Baca berita selanjutnya...
Posted by Cikgu Makmal at 10:50 PM 0 comments
Labels: GURU BOLEH BERPOLITIK, KERAJAAN
NGO MELAYU MAHU KEKALKAN UPSR DAN PMR
KUALA LUMPUR: Majlis Perundingan Melayu (MPM) yang mewakili 126 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu mahu Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) terus dikekalkan supaya rakyat serta kerajaan dapat memantau kualiti pendidikan asas pelajar.
MPM berpendapat pemansuhan kedua-dua peperiksaan itu dan penilaian selepas 11 tahun atau pada peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) terlalu lewat untuk menilai taraf kualiti pendidikan serta memberi peluang untuk pelajar membaiki pembelajaran mereka.
Pendirian itu akan disampaikan pakar rujuk MPM yang juga ahli Senat Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof Emeritus Datuk Dr Isahak Haron, dalam perbincangan meja bulat kedua Kementerian Pelajaran hari ini berhubung cadangan memansuhkan UPSR dan PMR.
Setiausaha Agung MPM, Dr Hasan Mad, berkata majlis itu berpendapat UPSR dan PMR tidak perlu dimansuhkan, sebaliknya pendekatannya diubah supaya tidak terlalu berorientasikan peperiksaan.
Kita cadangkan pendekatannya diubah dengan menambah sistem penilaian kemahiran pelajar yang diukur berdasarkan standard yang ditetapkan Majlis Peperiksaan Malaysia bagi setiap subjek.
Ini bermakna pelajar tidak akan terlalu berlumba-lumba untuk mendapat gred yang baik dalam peperiksaan, tetapi turut memberi penekanan kepada penguasaan kemahiran praktikal, katanya kepada Berita Harian selepas mengadakan pertemuan dengan wakil NGO di bawah MPM, semalam.
Antara NGO yang menganggotai MPM ialah Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA), Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (MUBARAK), Persatuan Pemikir Profesional Melayu Malaysia.
Hasan berkata, kajian yang dijalankan Isahak juga menunjukkan beberapa negara maju, termasuk Amerika Syarikat dan United Kingdom pernah melaksanakan sistem pendidikan tanpa peperiksaan, namun menukarkannya kembali kepada sistem peperiksaan yang ditambah dengan penilaian penguasaan kemahiran.
Ini dapat membantu kita menilai kecenderungan pelajar sama ada lebih cenderung kepada akademik atau kemahiran agar kita dapat menentukan hala tuju pelajar berkenaan, katanya.
Beliau berkata, pemansuhan UPSR dan PMR juga akan menyebabkan guru, terutama di Tingkatan Lima tertekan kerana terpaksa menyediakan pelajar menghadapi SPM satu-satunya peperiksaan awam selepas 11 tahun pada peringkat sekolah.
Pelajar pula akan belajar sambil lewa kerana setiap tahun dianggap tahun bulan madu kerana peperiksaan awam hanya dilaksanakan pada peringkat SPM, katanya.
Baca berita selanjutnya...
Posted by Cikgu Makmal at 4:53 PM 0 comments
Labels: MANSUH UPSR, NGO MELAYU
GURU DG 41 HINGGA DG 48 DIBENARKAN BERPOLITIK
KUALA LUMPUR 27 Julai - Bermula 1 Ogos ini, pegawai pendidikan perkhidmatan siswazah Gred DG41 hingga DG48 akan dibenarkan melibatkan diri dalam politik, demikian diumumkan oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan.
Menurut Mohd Sidek, langkah itu berlandaskan hakikat bahawa guru suatu masa dahulu memain peranan penting dalam memimpin masyarakat dalam senario politik negara.
"Masanya sudah tiba mereka dibenar aktif semula dalam politik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Bagi tujuan itu, beliau berkata, pindaan Peraturan 21 Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 telah diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin.
Tindakan sedang diambil untuk mewartakawan pindaan peraturan tersebut, tambahnya.
Sebelum ini, Peraturan 21(2) tersebut menetapkan hanya pegawai dalam Kumpulan Sokongan boleh bertanding atau memegang jawatan atau dilantik ke dalam apa-apa jawatan dalam suatu parti politik dengan syarat terlebih dahulu mendapat kelulusan bertulis Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam atau Ketua Setiausaha kementerian berkenaan.
Di bawah peraturan baru ini, pegawai pendidikan, selain pengetua atau guru besar di institusi pendidikan dan pegawai yang memegang apa-apa jawatan pentadbiran dalam mana-mana agensi kerajaan, perlu mendapat kebenaran bertulis daripada Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran terlebih dahulu.
"Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran tidak boleh mewakilkan kuasanya untuk memberikan kelulusan bertulis itu kepada mana-mana orang lain dan apa-apa keputusan Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran adalah muktamad,” kata Mohd Sidek.
Beliau berkata, syarat-syarat ketat akan dikenakan agar tugas dan fokus utama golongan itu iaitu mendidik tidak terjejas dengan penglibatan mereka dalam politik.
Katanya, mereka yang dibenarkan terlibat dalam politik kelak hendaklah mematuhi sepenuhnya Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993, termasuk batasan tugas mereka sebagai pegawai perkhidmatan pendidikan dengan aktiviti dalam politik.
- Bernama
Baca berita selanjutnya...
Posted by Cikgu Makmal at 12:56 PM 0 comments
Labels: GURU BOLEH BERPOLITIK, POLITIK, TAN SRI SIDEK HASAN






































